Samsung Malaysia secara rasmi memperkenalkan barisan baru TV pintar mereka untuk tahun 2025. TV pintar ini dikuasakan dengan platform baru yang dipanggil sebagai Samsung Vision AI. Melaluinya, ia memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan juga lebih pintar.

Samsung Vision AI mempunyai keupayaan yang baik untuk pembelajaran dalaman atau deep learning. Mampu mengesan persekitaran, menyesuaikan diri dengan tingkah laku pengguna dan boleh bertindak berdasarkan kepada keadaan. Selain itu, Vision AI turut membolehkan pengguna mengawal TV pintar dengan menggunakan Galaxy Watch melalui ciri Universal Getures dan mampu menghasilkan Generative Wallpaper.

Bercakap mengenai TV pintar, Samsung memperkenalkan beberapa model baru iaitu Samsung Neo QLED 8K, Neo QLED 4K, OLED dan QLED. Model paling premium dalam barisan ini adalah Neo QLED 8K QN990F, dijana dengan cip pemproses NQ8 AI Gen 3. Menggunakan rekaan Infinity Air Design yang nipis dengan ketebalan hanya 13.1mm sahaja.
Neo QLED 8K ini turut dilengkapi dengan pelbagai fungsi AI termaju seperti 8K AI Upscaling Pro, AI Motion Enhancer Pro, Real Depth Enhancer Pro, Energy Mode, Auto Game Mode dan AI Sound. Fungsi ini memberikan pengalaman menonton yang lebih baik dalam masa yang sama menjimatkan penggunaan tenaga.

Sokongan Vision AI turut tersedia kepada model Neo QLED 4K QN90F, OLED (S95F & S90F) dan siri QLED 2025. Untuk Neo QLED 4K QN90F, ia dikuasakan dengan cip NQ4 AI Gen3 yang ditawarkan dengan pilihan saiz 65-inci hingga 98-inci.

Manakala untuk OLED (S95F & S90F), ia hadir dengan teknologi anti silau yang dipanggil sebagai OLED Glare Free. Selain itu, ia menyokong kecerahan puncak sehingga 2000 nits, paparan 165Hz untuk S95F dan 144Hz untuk S90F. Sementara untuk siri QLED 2025, ia hadir dengan skrin yang baik dengan kontras dan warna yang terang. Ia juga merupakan model yang lebih mampu milik dalam barisan TV pintar Samsung 2025.
Untuk harga jualan, Neo QLED 8K dijual harga bermula RM20,999. Manakala untuk Neo QLED 4K QN90F pula dijual bermula RM10,799. Akhir sekali, untuk siri OLED 2025 ia dijual pada harga bermula RM7999. Bagi yang berminat, TV pintar ini boleh dipra-tempah di semua pengedar rasmi Samsung Malaysia.

Jika anda merancang untuk melihat produk ini secara dekat, boleh pergi ke Samsung 2025 AI TV Roadshow yang akan berlangsung pada 21 hingga 25 Mei 2025 di 1 Utama Shopping Centre, Selangor.