Close

Nintendo Switch 2 dah terjual 3.5 juta unit hanya dalam 4 hari

Konsol terbaru dari Nintendo iaitu Switch 2 telah terjual lebih dari 3.5 juta unit di seluruh dunia hanya dalam masa 4 hari selepas pelancarannya.

Perkara tersebut diumumkan oleh Nintendo melalui laman web rasmi mereka. Switch 2 yang mula dijual pada 5 Jun 2025 berjaya mencatatkan jualan yang memberangsangkan. Dengan rekod jualan tersebut, Switch 2 telah mencipta rekod yang tersendiri menjadi konsol dengan jualan terpantas dalam sejarah Nintendo.

Switch 2 merupakan penyambung kepada kejayaan konsol pertama iaitu Switch yang diperkenalkan pada tahun 2017. Switch 2 hadir dengan pelbagai peningkatan yang menarik seperti skrin yang lebih besar, sokongan kawalan baru melalui Joy-Con 2 dan prestasi yang lebih berkuasa.

Bukan itu sahaja, konsol ini turut menyokong mod permainan yang lebih interaktif dengan ciri baru iaitu GameChat yang membolehkan pengguna berkongsi skrin secara langsung ketika bermain. Selain itu, konsol hadir dengan dock baru yang menyokong paparan sehingga 4K apabila disambungkan pada TV.

Switch 2 akan turut dijual ke pasaran Asia Tenggara pada 26 Jun ini namun hanya tersedia untuk Singapura, Thailand dan Filipina. Untuk pasaran Malaysia, ia mungkin tiba sekitar Julai atau September ini.

ARTIKEL BERKAITAN