WhatsApp memperkenalkan fungsi baru pada aplikasi mereka yang dipanggil ‘Message Summaries‘. Seperti namanya, fungsi ini membolehkan pengguna mendapatkan ringkasan mesej yang belum dibaca dalam satu perbualan panjang.

Message Summaries dikuasakan dengan Meta AI untuk meringkaskan mesej yang belum dibaca oleh pengguna. Menurut Meta, fungsi ini menggunakan teknologi Private Processing, bermaksud mesej tidak akan dibaca oleh pihak WhatsApp atau Meta.
Selain itu, ringkasan yang dijana juga tidak dapat dilihat atau dibaca oleh ahli lain atau pihak ketiga dalam perbualan. Pengguna lain juga tidak akan mengetahui sekiranya anda menggunakan fungsi tersebut.
Mesej yang diringkaskan akan diperlihatkan dalam bentuk poin untuk memudahkan pengguna membaca setiap mesej satu per satu. Untuk menggunakan fungsi ini, pengguna hanya perlu menekan Summarize privately yang akan dipaparkan pada ruang sembang.
Walau bagaimanapun, fungsi ini hanya tersedia untuk pengguna Amerika Syarikat dan dalam Bahasa Inggeris sahaja. Fungsi ini dijangka akan diperluaskan kepada lebih banyak negara dan bahasa pada masa akan datang.