Close

Nothing Headphone (1) turut diperkenalkan – Rekaan lut sinar dengan bateri 80 jam

Seiring dengan pelancaran Phone (3), Nothing turut memperkenalkan produk audio baru mereka iaitu Headphone (1). Peranti ini hadir dengan rekaan ikonik Nothing dengan 2 pilihan warna iaitu hitam dan putih.

Headphone (1) hadir dengan rekaan lut sinar pada bahagian earcup sekaligus membolehkan bahagian dalaman boleh dilihat. Bingkai peranti ini menggunakan bahan binaan aluminium dan pad telinga dihasilkan dari span dan PU untuk keselasaan jangka masa panjang.

Peranti ini hanya seberat 329 gram dan dilengkapi dengan driver 40mm serta sistem audio dari KEF. Menyokong fungsi Active Noise Cancellation (ANC) sehingga 42dB dan spatial audio untuk pengalaman audio 3D yang lebih baik.

Dari segi kawalan, terdapat 3 butang kawalan yang diletakkan pada peranti ini dengan dua darinya di bahagian sisi dan satu lagi di bahagian luar. Walaupun peranti ini ditawarkan sebagai fon kepala tanpa wayar namun ia boleh digunakan dengan kabel audio 3.5mm dan USB-C. Selain itu, ia turut hadir dengan penarafan IP52 dan sokongan Bluetooh 5.3.

Untuk sokongan codec, ia menyokong AAC, SBC dan juga LDAC manakala untuk sambungan pantas ia menyokong Google Fast Pair dan Swift Fast Pair untuk Windows. Nothing mendakwa, peranti ini mampu bertahan sehingga 35 jam dengan ciri ANC diaktifkan dan 80 jam dengan ciri ANC dimatikan. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas melalui USB-C.

Seperti mana Phone (3), Headphone (1) akan turut ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan pra-tempahan bermula 12 Julai dan jualan pertama bermula 1 Ogos. Harga jualan untuk pasaran tempatan hanya akan diketahui pada 11 Julai ini.

ARTIKEL BERKAITAN