Panasonic bakal menamatkan operasi Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia (PAVCKM) sepenuhnya menjelang akhir Mac 2027 sebagai sebahagian daripada proses penyusunan semula operasi global syarikat.
Panasonic menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan bermaksud syarikat akan menghentikan operasi di Malaysia. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada strategi penstrukturan semula bagi meningkatkan kecekapan operasi pengeluaran.
Untuk langkah pertama, Panasonic akan menghentikan pengeluaran televisyen di Malaysia menjelang akhir September 2026. Pada masa yang sama, pengeluaran Blu-ray Disc Player akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co., Ltd. (CHPAVC) di China.

Penyusunan semula ini dibuat selepas Panasonic menjalinkan kerjasama dengan syarikat audio visual dari China, Skyworth, untuk menghasilkan televisyen berjenama Panasonic bagi pasaran Amerika Syarikat. Berikutan itu, operasi tersebut akan dipindahkan ke lokasi lain, namun Panasonic masih belum mendedahkan lokasi baru tersebut.
Penutup operasi ini dijangka memberi kesan kepada 400 pekerja. Seiring dengan itu, Panasonic kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Electrical Industry Workers’ Union (EIWU) bagi memastikan semua pekerja yang terjejas menerima sokongan sewajarnya. Ini termasuk bantuan penempatan pekerjaan baru dan juga program peralihan kerjaya.