Rapid KL melanjutkan tempoh perjalanan percuma bagi Laluan LRT3 Shah Alam sehingga 14 Ogos 2026, sekali gus beri peluang untuk lebih ramai pengguna menikmati perkhidmatan tanpa sebarang caj.
Inisiatif ini turut merangkumi 20 stesen di laluan Shah Alam, perjalanan percuma di 13 laluan Bas Perantara Shah Alam (tidak termasuk Rapid KL On-Demand) dan parkir percuma di 6 lokasi Park N Ride.

Menurut Rapid KL, lanjutan tempoh perjalanan percuma ini adalah untuk memberi lebih banyak masa kepada pengguna membiasakan diri dengan laluan baru yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang. Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan kos perjalanan harian di samping meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kecekapan dan keselesaan sistem pengangkutan awam negara.
Antara pembaharuan menarik yang ditawarkan pada LRT3 adalah penggunaan sistem tiket berasaskan kod QR. Penumpang akan menerima tiket kertas dengan kod QR untuk diimbas di pintu masuk dan keluar stesen. Walau bagaimanapun, pengguna masih boleh menggunakan alternatif lain seperti kad Touch ‘n Go dan MyKad seperti biasa.
Selain itu, Rapid KL akan menyokong sistem pembayaran terbuka (open payment) pada masa hadapan, namun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan.

LRT3 Shah Alam mula beroperasi secara rasmi pada 29 Jun 2026. Laluan sepanjang 37.8 km ini dibina dengan kos sekitar RM16.63 bilion dan mempunyai 20 stesen, bermula dari Bandar Utama di Damansara hingga ke Johan Setia di Klang.