Electronic Arts (EA) secara rasmi mengesahkan proses pengambilalihannya oleh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi telah selesai. Urus niaga tersebut dikatakan bernilai sekitar $55 bilion ( RM225 bilion) itu menjadikan EA sebuah syarikat persendirian dan tidak lagi disenaraikan di pasaran saham.

Di bawah struktur pemilikan baru, PIF akan memegang jumlah terbesar iaitu 93.4% kepentingan dalam EA, manakala Silver Lake memiliki 5.5% dan Affinity Partners pula memegang baki 1.1% saham.
Pengambilalihan ini boleh dikatakan sebagaiurus niaga terbesar dalam industri permainan video. Ia juga dianggap sebagai leveraged buyout (LBO) terbesar dalam sejarah, selain menjadi pengambilalihan kedua terbesar dalam industri permainan video selepas pembelian Activision Blizzard oleh Microsoft.
Ketua Pegawai Eksekutif EA iaitu Andrew Wilson akan kekal memimpin operasi tanpa sebarang perubahan pada barisan permainannya. Beliau turut menyatakan, syarikat itu kini memasuki fasa baru bersama rakan pelabur yang berkongsi visi untuk mempercepatkan inovasi serta membangunkan generasi baru permainan untuk pengguna di seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, pengambilalihan ini turut mengundang perhatian kerana EA dilaporkan telah memberhentikan antara 300 hingga 400 pekerja, selain mengecilkan operasi dan menutup beberapa studio pembangunan sejak pengambilalihan diumumkan.