Jabatan Imigresen menghentikan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan yang dihadapi pemegang pasport ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Keputusan itu dibuat selepas pemegang pasport berkenaan menghadapi beberapa masalah ketika melakukan perjalanan ke luar negara. Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, sebelum ini, Imigresen sudah merujuk perkara itu kepada International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun.
Walau bagaimanapun, masalah itu timbul selepas beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
Untuk menangani kekeliruan tersebut, jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja. Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.
Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun. Selain itu, pemegan PMA yang terkesan akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.
Dalam pada itu, Imigresen komited untuk memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.