Close

4 peranti konsep menarik yang diperlihatkan di MWC 2025

Acara Mobile World Congress (MWC) merupakan acara teknologi yang paling popular dan berpengaruh di dunia. Pada acara ini, pelbagai pengeluar memperlihatkan teknologi baru dan peranti konsep. Jadi, ini adalah 4 peranti konsep menarik yang diumumkan di MWC 2025.

realme Interchangeable-lens concept

realme melalui acara Mobile World Congress (MWC) 2025 telah memperlihatkan konsep lensa boleh tukar untuk fon. Secara asasnya, peranti konsep ini menyokong tiga sensor kamera dengan salah satu sensor akan disambung dengan lensa boleh tukar. Untuk menggunakan lensa boleh tukar, peranti perlu dipasang dengan penyesuai sebelum lensa boleh tukar dipasang.

Melalui sokongan ini, pengguna boleh menggunakan lensa DSLR secara terus pada peranti. Sekaligus, memberikan hasil imej dengan kualiti sama seperti DSLR. Buat masa ini, hanya dua lensa sahaja yang ditawarkan iaitu 73mm untuk potret dan 234mm untuk telefoto.

Namun begitu, terdapat beberapa kekangan atau permasalah yang dihadapi pada peranti konsep ini seperti had saiz sensor dan juga kemampuan digital zum melalui optik modular dengan teknologi mudah alih. Seperti namanya, tidak dapat dipastikan adakah konsep lensa boleh tukar ini akan ditawar secara komersil atau sebaliknya.

Xiaomi Modular Optical System

Selain realme, Xiaomi turut memperlihatkan peranti konsep mereka iaitu Modular Optical System (MOS). Berbeza dengan interchangeable-lens yang disambungkan dengan penyesuai, modular optical system menggunakan sistem magnetik untuk disambungkan.

MOS membolehkan lensa optik disambungan secara terus kepada peranti melalui sistem magnetik Qi2 yang sama seperti magsafe pada iPhone. Selepas disambungkan, peranti dan lensa optik ini akan dihubungkan dengan teknologi Xiaomi LaserLink. Data imej yang diterima dari lensa optik akan dihantar ke peranti sebelum diproses. Imej yang dihasilkan akan disimpan secara terus dalam galeri peranti.

MOS dibangunkan sepenuhnya oleh Xiaomi tanpa pihak ketiga. Konsep MOS boleh dikatakan sebagai unik dan menarik namun tidak dapat dipastikan adakah ia akan diperkenalkan secara rasmi atau sebaliknya.

Lenovo ThinkBook Flip concept

Berbeza dengan kebanyakkan pengeluar yang lebih memfokuskan kepada fon boleh lipat. Lenovo hadir dengan konsep komputer riba boleh lipat melalui ThinBook Flip. Komputer riba ini menggunakan skrin OLED bersaiz 13-inci apabila ditutup dan menjadi 18.1-inci apabila dibuka sepenuhnya.

ThinkBook Flip adalah komputer riba yang boleh dilipat dan digunakan secara menegak. Terdapat skrin yang dilipat keluar yang boleh digunakan untuk perkongsian skrin. Menariknya, komputer riba ini menyokong 5 pilihan mod skrin iaitu Clamshell Mode, Vertical Mode, Share Mode, Read Mode dan Tablet Mode. Semua mod ini boleh digunakan mengikut kepada keadaan dan juga situasi.

Kelemahan ketara pada ThinkBook Flip adalah skrin luar yang terdedah, jadi masalah ketahanan mungkin akan menjadi isu untuk kegunaan harian. Lenovo tidak menyatakan yang ThinkBook Flip akan di tawarkan secara komersil atau sebaliknya. Namun begitu, apa yang boleh ia adalah salah satu peranti menarik yang diperlihatkan di MWC 2025.

Samsung Foldable Console concept

Di acara MWC 2025, Samsung telah memperlihatkan peranti konsep untuk permainan yang menarik iaitu Foldable Console concept. Seperti namanya, ia merupakan konsol mudah alih dengan skrin boleh lipat.

Namun apa yang menarik adalah butang kawalan dan kekunci anak panah pada konsol ini menggunakan rekaan berlubang. Rekaan berlubang ini digunakan sebagai tempat menyimpan atau meletakkan joystick apabila konsol dilipat.

Selain itu, konsol ini menggunakan rekaan yang nipis dan mempunyai dua kemasan warna iaitu hijau dan kuning. Malangnya, tiada maklumat yang dikongsi oleh Samsung mengenai peranti ini. Selain itu, tidak dapat dipastikan adakah Samsung akan menawarkan peranti ini atau hanya sekadar untuk memperlihatkan teknologi mereka sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN