Xiaomi mungkin akan menamatkan kerjasama dengan jenama fotografi popular iaitu Leica. Dengan penamatan ini, Xiaomi dikatakan akan menggunakan teknologi kamera mereka sendiri pada peranti mereka.
Berikutan dari itu, peranti andalan yang akan datang dengan kod model sub-siri SM8850 tidak lagi akan menggunakan penjenamaan kamera Leica sebaliknya menggunakan penjenamaan kamera sendiri. Model yang akan menggunakan kod model sub-siri ini adalah Xiaomi 16, 16 Pro, 16 Ultra, 16 Ultra Max, Redmi K90 Pro dan POCO F8 Ultra.

Perubahan ini menandakan langkah baru dalam strategi pengimejan Xiaomi dengan memilih untuk menggunakan teknologi kamera yang dibangunkan sendiri sepenuhnya. Sistem pengimejan ini dikatakan akan menawarkan kemampuan yang lebih baik dengan warna tersuai yang diinspirasikan dari peranti andalan utama mereka.
Selain itu, perubahan ini akan menjimatkan kos berikutan lesen kerjasama dengan Leica meningkat sekitar $3 (RM14) hingga $5 (RM21) untuk setiap unit, tidak termasuk caj lesen tambahan. Dengan penjimatan ini, Xiaomi akan menfokuskan kepada sensor kamera yang lebih baik, peningkatan kapasiti bateri dan sebagainya.