Close

HTC Vive Eagle diperkenalkan – Cermin mata pintar dengan bateri 36 jam

HTC mengembangkan penawaran mereka dalam segmen peranti boleh pakai selepas memperkenalkan cermin mata pintar iaitu Vive Eagle. Sebelum ini, HTC lebih memfokuskan kepada set kepala realiti maya melalui siri Vive.

HTC Vive Eagle tampil dengan rekaan yang moden dan minimalis dengan bingkai jenis lut sinar. Peranti ini hanya seberat 49 gram dan menyokong penarafan IP54. Dikuasakan dengan cip Snapdragon AR1 Gen 1 yang dipadankan dengan 4GB RAM dan storan dalaman 32GB.

Peranti ini dilengkapi dengan kamera 12MP Ultra Lebar yang mampu merakam video pada resolusi 1512 × 2016 dengan 30fps. Terdapat lampu LED indikator yang akan menyala ketika peranti sedang merakam untuk menambah privasi.

Antara ciri menarik yang ditawarkan oleh Vive Eagle adalah sokongan HTC Vive AI Assistant yang diintergrasi dengan Google Gemini serta ChatGPT. Ia membolehkan pengguna mengakses AI terus daripada peranti. Turut menyokong fungsi terjemahan masa nyata untuk 13 bahasa, lengkap dengan penukaran teks kepada audio secara terus pada peranti.

HTC Vive Eagle dimuatkan dengan bateri 235mAh yang menawarkan jangka hayat 4.5 jam mendengar muzik, 3 jam untuk panggilan dan 36 jam dalam mod standby. Menyokong pengecasan pantas yang mampu mengecas 50% hanya dalam masa 10 minit. Spesifikasi lain yang dibawakan seperti Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3 dan boleh dipadankan dengan peranti yang menjalankan iOS 17.6 ke atas dan Android 10+ ke atas.

HTC Vive Eagle ini telahpun dibuka untuk pra-tempahan di Taiwan dengan harga jualan sekitar NTD 15,600 (RM2400). Jualan rasmi untuk Vive Eagle akan bermula 1 September 2025. Tidak dapat dipastikan adakah ia akan tiba secara global atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN