Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) kini menawarkan kamus Dewan Perdana dalam versi web. Kamus versi web ini telahpun melalui beberapa proses ujian sejak tahun lalu, sebelum ia ditawarkan kepada pengguna.

Platform ini menawarkan rujukan Bahasa Melayu yang lebih komprehensif dan terdapat lebih dari 120,000 entri dan subentri yang merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata daripada bahasa serumpun.

Setiap perkataan kini disertakan nombor pengenalan tersendiri mnakala hasil carian dibahagikan kepada beberapa kategori kata masukan, kata terbitan dan asal usul perkataan. Selain itu, platform ini turut memperlihatkan statistik seperti carian tertinggi dan juga perkataan hari ini.
Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan akses penuh pengguna perlu mendaftar masuk terlebih dahulu. Buat masa ini, kamus Dewan Perdana versi web ini ditawarkan secara percuma. Namun begitu, DBP memaklumkan bahawa sistem langganan akan diperkenalkan pada masa akan datang dan DBP merancang untuk menambah kandungan secara berperingkat.