Harga komponen memori dijangka terus meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang berikutan masalah kekurangkan bekalan.
Menurut laporan daripada firma penyelidikan Jefferies Equity Research, harga memori dijangka melonjak sehingga 50% pada suku ketiga (Q3) 2026, diikuti satu lagi kenaikan sehingga 40% pada suku keempat (Q4) 2026. Selain itu, penganalisis turut menjangkakan harga memori akan kekal tinggi sepanjang 2027, penurunan harga berpotensi berlaku pada 2028 apabila kapasiti pengeluaran baru mula memasuki pasaran.

Permintaan tinggi terhadap komponen memori daripada syarikat yang membangunkan infrastruktur AI menjadi faktor utama kenaikan harga. Selain itu, kontrak bekalan panjang dengan syarikat teknologi berskala besar yang ditandatangani oleh pengeluar memori utama seperti Samsung, SK hynix dan Micron turut menyumbang kepada perkara tersebut. Kira-kira 50% kapasiti pengeluaran semasa telah diperuntukkan menerusi kontrak jangka panjang, dan angka itu berpotensi meningkat kepada 70%.
Secara keseluruhannya, Jefferies Equity Research menjangkakan pasaran memori akan terus berdepan tekanan harga sepanjang 2026 dan 2027 akibat kekurangan bekalan global, peningkatan permintaan AI serta kapasiti pengeluaran yang masih terhad.