Apple telah menjadualkan acara khas pada 9 September 2026 yang menggunakan slogan “Surprise and Shine”.
Seperti kebiasaan, pada acara ini Apple akan mengumumkan barisan baru iPhone, dijangka iPhone 18 Pro dan iPhone18 Pro Max. Pada acara yang sama, Apple berkemungkinan akan turut mengumumkan fon lipat pertama mereka iaitu iPhone Ultra.

Seperti laporan sebelum ini, Apple akan mengasingkan acara pelancaran kepada dua bahagian dengan hanya siri iPhone 18 Pro akan diperkenalkan pada September ini, manakala model biasa iaitu iPhone 18 akan diperkenalkan pada 2027.
Selain barisan iPhone, Apple dijangka akan turut mengumumkan beberapa peranti lain seperti Apple Watch Series 12 dan Apple Watch Ultra 4. Lebih menarik, John Ternus dikata akan mengendalikan acara ini, menjadikan ia acara besar pertama Apple di bawah CEO baru.
Dengan slogan “Surprise and Shine” kita mungkin boleh menjangkakan sesuatu yang menarik akan diumumkan oleh Apple pada acara ini. Di Malaysia, acara ini akan berlangsung pada 10 September 1.00 pagi yang boleh ditonton menerusi laman web Apple, YouTube dan aplikasi Apple TV.