ASUS Malaysia secara rasmi melancarkan peranti edisi khas iaitu ASUS ROG Phone 6 MLBB M5 Special Edition untuk pasaran tempatan. Edisi khas ini diperkenalkan bersempena dengan kejohanan M5 World Championship yang akan berlangsung pada Disember 2023.
Tiada perubahan dari segi spesifikasi dan rekaan pada ASUS ROG Phone 6 MLBB M5 Special Edition. Dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.78-inci AMOLED FHD+, paparan 165Hz dan menyokong paparan HDR10+. Dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 digabungkan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.
Hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 13MP ultra sudut lebar + 5MP makro. Manakala untuk swafoto, ia tampil dengan sensor sebesar 12MP. Dimuatkan dengan bateri 6000mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 65W.
Untuk menjadikan edisi ini lebih eksklusif, ia didatangkan dengan kotak edisi khas MLBB dengan beberapa aksesori menarik seperti Devilcase Yu Zhong, MLBB Badge Holder, MLBB Cleaning Cloth dan juga AeroActive Cooler 6.
Untuk harga jualan, ASUS ROG Phone 6 MLBB M5 Special Edition dijual pada harga RM2299 untuk 12GB + 256GB. Bagi yang berminat, peranti ini boleh mula dibeli bermula hari ini 12 Oktober 2023 di semua pengedar rasmi ASUS Malaysia. 50 pembeli terawal akan menerima 500 Diamond secara pecuma.