Baru-baru ini, dunia IT dikejutkan dengan masalah Blue Screen Of Dead (BSOD) yang menyebabkan komputer yang menjalankan sistem operasi Microsoft tidak boleh beroperasi seperti biasa. Lebih mengejutkan, masalah ini melibatkan pengguna di seluruh dunia.
Gangguan ini dikatakan berpunca dari kemas kini yang dilepaskan oleh ‘CrowdStrike’, syarikat yang bertanggungjawab dalam menawarkan kemas kini keselamatan siber untuk Microsoft. Kemas kini tersebut telah menyebabkan sistem operasi Microsoft menghadapi masalah BSOD atau ‘boot loop’.
Masalah tersebut menyebabkan beratus-ratus syarikat terkesan antaranya Amazon Web Services, RyanAir, American Airlines, Delta Airlines, Telstra, myob mengalami gangguan komunikasi. Disebabkan itu, pelbagai perkhdimatan yang ditawarkan terjejas. Microsoft turut terkesan selepas beberapa perkhidmatan mereka seperti Microsoft 365 dan Azure mengalami nasib yang sama.
Di Malaysia tidak kurang hebatnya, syarikat seperti AirAsia, KLIA Express, Bursa Malaysia, Malaysia Airport Berhad, Pos Malaysia dan KTM Berhad turut terkesan dengan masalah yang tersebut, menyebabkan beberapa perkhidmatan tergendala.
Walaubagaimanapun, masalah ini tidak menjejaskan hos Mac dan Linux. Selain itu, CrowdStrike menegaskan masalah ini tidak melibatkan sebarang insiden keselamatan atau serangan siber.
Sekiranya terkesan dengan masalah ‘CrowdStrike’, anda disarankan untuk membuang fail kemas kini dengan menggunakan langkah ini.
- Masuk Windows Safe Mode ataupun Windows Recovery Environment
- Pergi ke direktori C:\Windows\System32\drivers\CrowdStrike
- Buang fail C-00000291*.sys
- Selepas selesai, restart komputer seperti biasa