Qualcomm melalui acara SEA Summit 2025 telah memperlihatkan cip baru mereka iaitu Snapdragon X. Cip ini memfokuskan kepada penawaran yang lebih mampu milik dalam segmen komputer riba berbanding siri cip Snapdragon X Elite atau Snapdragon X Plus.


Cip Snapdragon X dibina dengan menggunakan teknologi binaan 4nm dengan konfigurasi 8 teras yang berkelajuan sehingga 3GHz. Qualcomm mendakwa cip ini menawarkan kuasa pemprosesan yang lebih pantas dengan penggunaan tenaga yang lebih efisien dan cekap berbanding pesaing lain.

Qualcomm turut menyatakan yang Snapdragon X menawarkan kemampuan prestasi 157% lebih pantas pada penggunaan kuasa yang sama berbanding cip Intel Core 5 120U. Selain itu, cip ini turut dilengkapi dengan NPU berkuasa pada 45 TOPS untuk kecerdasan buatan (AI). Turut menyokong piawaian Copilot+ PC sekaligus menyokong pelbagai fungsi AI pada Microsoft Windows 11 seperti Copilot, Recall, Image Creator, Live Captions dan sebagainya.

Untuk prestasi bateri, cip Snapdragon X ini mampu menawarkan ketahanan dan kemampuan bateri yang lebih panjang dalam pelbagai keadaan pengguna seperti panggilan video, penggunaan web, penstriman video dan lain-lain.

Ketibaan cip ini dijangka akan mengubah landskap penawaran komputer riba. Selain itu, kita mungkin boleh menjangkakan lebih banyak komputer riba yang dijana cip Snapdragon X akan diperkenalkan di pasaran tidak lama lagi.