Close

Siri iPhone 17 diperkenalkan – Apa yang baru?

Siri iPhone 17 akhirnya diperkenalkan secara rasmi melalui acara Apple Event (Awe Dropping) yang berlangsung sebentar tadi. Melaluinya, ia hadir dengan empat pilihan model iaitu iPhone 17, iPhone Air, iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max.

iPhone 17

Untuk iPhone 17, ia dilengkapi dengan skrin yang lebih besar iaitu 6.3-inci berbanding 6.1-inci pada model sebelumnya. Hadir dengan skrin Dynamic Island yang turut menyokong teknologi Super Retina XDR Display dan kecerahan puncak 3000 nits. Menariknya, iPhone 17 kini menyokong ProMotion 120Hz, Always-On Display pada 1Hz dan dilindungi Ceramic Shield 2.

Tiada perubahan ketara dari segi rekaan, kekal menggunakan rekaan modul kamera yang disusun secara menegak dengan 2 butang tambahan action button dan camera control. Dijana cip baru A19 yang menawarkan prestasi CPU dan GPU yang lebih baik dan menyokong Apple Intelligence.

Menggunakan tetapan dwi-kamera dengan sensor utama 48MP + 12MP Ultra Lebar dengan teknologi ‘Dual Fusion Camera System‘. Kamera ini menawarkan kemampuan 2x zum telephoto dan 1x macro. Untuk swafoto, ia menggunakan sensor 18MP yang menyokong ciri Stage Center Camera. Selain itu, ia turut menyokong ciri baru Dual Capture, membolehkan ia merakam video secara serentak melalui kamera hadapan dan belakang. iPhone 17 turut dilengkapi dengan cip wireless baru iaitu N1 untuk WiFi7, Bluetooth 6 dan Thread.

iPhone Air

Apple menggantikan model ‘Plus’ dengan model ‘Air’, memfokuskan kepada rekaan yang lebih nipis dengan cip yang berkuasa. iPhone Air hanya setebal 5.7mm dengan berat 165 gram dan dibina menggunakan bahan binaan dari Titanium Grade 5. Dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.5-inci Super Retina XDR dengan ProMotion 120Hz. Turut menyokong kecerahan puncak sehingga 3000 nits dan dilindungi dengan Ceramic Shield 2.

Dikuasakan dengan cip A19 Pro yang menjanjikan peningkatan prestasi CPU sehingga 40% berbanding iPhone 14 Pro. Dimuatkan dengan cip wireless N1 dan juga cip modem C1X yang menjanjikan prestasi dua kali ganda lebih baik dan lebih efisien.

Menggunakan kamera tunggal belakang dengan sensor 48MP yang menyokong teknologi ‘Fusion Camera System’. Kamera ini turut menawarkan kemampuan 2x telefoto dengan 12MP. Untuk swafoto, ia menggunakan sensor 18MP yang menyokong ciri Stage Center Camera. Selain itu, ia turut menyokong ciri baru Dual Capture, membolehkan ia merakam video secara serentak melalui kamera hadapan dan belakang.

iPhone 17 Pro dan 17 Pro Max

Model paling premium iaitu iPhone 17 Pro dan 17 Pro Max hadir dengan rekaan serba baru. Menggunakan rekaan modul kamera baru yang lebih besar dan lebih menonjol. Apple tidak lagi menggunakan binaan Titanium sebaliknya menggunakan binaan Aluminium unibody.

Hadir dengan skrin bersaiz iaitu 6.3-inci untuk iPhone 17 Pro dan 6.9-inci untuk iPhone 17 Pro Max. Kedua-dua menggunakan skrin Super Retina XDR Display dengan ProMotion 120Hz. Turut menyokong kecerahan puncak 3000 nits dan dilindungi dengan Ceramic Shield 2.

Dikuasakan dengan cip A19 Pro yang menjanjikan peningkatan prestasi CPU 20% dan GPU 50% berbanding cip yang digunakan pada iPhone 15 Pro Max. Dilengkapi dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 48MP + 48MP Ultra Lebar + 48MP Telefoto dengan 8x zum optik. Untuk swafoto, ia menggunakan sensor 18MP.

Untuk rakaman video, ia menyokong rakaman ProRes RAW, Log 2 dan genlock. Selain itu, kedua-dua model ini menyokong pengecasan 40W yang mampu mengecas 50% hanya dalam 20 minit. Turut dimuatkan dengan cip wireless N1 untuk WiFi7, Bluetooth 6 dan Thread.

Di Malaysia, siri iPhone 17 dijual pada harga bermula RM3999 untuk iPhone 17, RM4999 untuk iPhone Air, RM5499 untuk iPhone 17 Pro dan RM5999 untuk iPhone 17 Pro Max. Bagi yang berminat, siri iPhone 17 boleh dipra-tempah bermula 12 September dan jualan pertama bermula 19 September.

ARTIKEL BERKAITAN