Siri Samsung Galaxy S26 menjadi peranti terbaru yang menyokong perkongsian fail dengan peranti Apple melalui AirDrop. Sebelum ini, ciri tersebut hanya tersedia untuk siri Google Pixel 10 sahaja.
Perkara tersebut, dikongsi oleh Samsung dan akan menyokong Galaxy S26, Galaxy S26+ dan Galaxy S26 Ultra. Ciri ini akan ditawarkan secara berperingkat dengan beberapa negara telahpun menerimanya. Pengguna Samsung di Malaysia akan turut menerima kemas kini ini, namun ketika artikel ini ditulis ciri ini belum lagi diterima.

Perkongsian fail antara Android dan iPhone kini lebih mudah dengan kemampuan rentas platform melalui Quick Share untuk Android dan AirDrop untuk peranti Apple. Ciri rentas platform ini membolehkan pengguna memindahkan fail antara kedua-dua platform secara terus tanpa memerlukan sebarang aplikasi pihak ketiga.
Google telahpun mengesahkan ciri ini akan turut tersedia kepada lebih banyak peranti Android pada masa akan datang.