Close

5 ciri menarik WhatsApp yang wajib anda tahu dan cuba

WhatsApp bukan sekadar aplikasi untuk menghantar mesej sahaja, tetapi ia kini adalah ‘tool’ atau alat penting untuk kerja, perniagaan dan juga kehidupan sosial.

Seiring dengan itu, pelbagai ciri baru yang telah diperkenalkan untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dalam masa yang sama meningkatkan produktiviti.

Parent-managed accounts

Dalam usaha untuk mengawal akaun kanak-kanak bawah umur, WhatsApp telah membawakan ciri baru yang dipanggil sebagai ‘parent-managed accounts’.

Ciri baru ini direka untuk memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selamat kepada pengguna muda. Melaluinya, ibu bapa atau penjaga boleh menetapkan siapa yang boleh menghantar mesej dan kumpulan mana yang boleh disertai.

Ciri ini turut membolehkan ibu bapa menyemak mesej yang diterima dari akaun yang tidak dikenali serta menetapkan tahap privasi secara terus. Semua tetapan ini dilindungi dengan kod PIN khas, diperlukan untuk membuat sebarang perubahan pada akaun yang diuruskan.

Group chats

Tidak dinafikan, kumpulan sembang atau group chats merupakan salah satu cara terbaik untuk menguruskan perkara secara kolektif. Sedar akan kepentingan tersebut, WhatsApp memperkenalkan tiga ciri baru yang memfokuskan kepada kumpulan sembang atau group chats.

Ciri pertama yang diperkenalkan adalah Member Tags, pengguna kini boleh menetapkan tag atau peranan pada diri sendiri dalam sesebuah kumpulan, sebagai contoh ketua pasukan, guru atau sebagainya.

Ciri ini dilihat memudahkan pengguna lain mengetahui posisi atau tugas anda dalam sesebuah kumpulan. Menariknya, penggunaan tag ini boleh dibezakan mengikut kumpulan. Ciri kedua yang diperkenalkan adalah Text Stickers, pengguna boleh menukar mana-mana teks menjadi pelekat dengan hanya menaip perkataan pada fungsi carian pelekat.

Pelekat teks yang telah dihasilkan boleh terus disimpan tanpa perlua menghantar kepada pengguna lain terlebih dahulu. Ciri ketiga yang diperkenalkan adalah Event Reminders, membolehkan pengguna menetapkan peringatan awal apabila mencipta acara dalam kumpulan. Mengurangkan risiko atau masalah ahli kumpulan terlupa tentang acara penting yang telah dirancang.

Ciri lain yang turut dibawakan seperti question channel, membolehkan pentadbir (admin) berinteraksi dengan pengikut untuk mendapatkan maklum balas secara masa nyata. Ciri ini diperkenalkan untuk menjadikan komunikasi lebih teratur, kreatif dan mudah untuk diuruskan.

Missed call message

WhatsApp hadir dengan ciri missed call messages, yang membolehkan pengguna merakam mesej suara atau mesej video yang untuk panggilan yang tidak dijawab. Ciri ini menggunakan konsep seperti mel suara tradisional dan memudahkan pengguna ketika waktu sibuk.

Bukan itu sahaja terdapat beberapa ciri lain seperti reactions in voice chats, group call speaker spotlight, new media tab on desktop, new stickers on Status dan lain-lain. Pengguna kini boleh memberi reaksi secara masa nyata tanpa menggangu perbualan melalui ciri reactions in voice chats.

Selain itu, panggilan video berkumpulan turut ditambah baik dengan group call speaker spotlight, pengguna yang bercakap akan diberikan prioriti bagi memudahkan pengguna lain mengenal pasti siapa yang sedang bercakap.

Pengguna WhatsApp versi desktop akan diperkenalkan dengan ciri media tab on desktop yang akan memudahkan pengguna membuat carian dokumen, pautan, fail media dan sebagainya. Interaksi melalui status kini lebih menarik dengan new stickers on Status. Membolehkan pengguna berkongsi lirik lagu serta soalan interaktif yang boleh dijawab oleh rakan atau pengikut.

WhatsApp on Apple Watch

WhatsApp akhirnya memperkenalkan aplikasi rasmi untuk Apple Watch, membolehkan pengguna membaca atau membalas dan berinteraksi tanpa perlu menggunakan iPhone.

Dengan menggunakan WhatsApp untuk Apple Watch, ia membolehkan pengguna membaca mesej penuh serta membalas mesej terus dari jam pintar. Selain itu, ia turut menyokong reaksi emoji dan menghantar mesej suara. Semua mesej dan panggilan yang dilakukan akan disulitkan melalui end-to-end encryption, sama seperti versi iPhone.

Walau bagaimanapun, pengguna tidak boleh memulakan perbualan baru terus dari Apple Watch dan tiada sokongan panggilan suara dan video buat masa ini.

WhatsApp untuk Apple Watch ini boleh digunakan pada Watch Series 4 dan ke atas menjalankan WatchOS 10. Untuk mula menggunakan, pengguna perlu menyambungan WhatsApp pada iPhone dengan Apple Watch. Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Apple App Store.

Live/Motion Photos

WhatsApp kini hadir dengan sokongan Live Photos untuk iOS dan Motion Photos untuk Android. Melalui ciri ini, imej yang dikongsi akan mempunyai pergerakan dan audio berdurasi tiga saat. Membolehkan pengguna berkongsi detik sebenar atau momen yang lebih hidup berbanding imej statik.

Selain itu, pengguna kini boleh mencipta atau menghasilkan tema perbualan yang lebih kreatif melalui Meta AI, memberikan pengalaman yang lebih peribadi. Bukan itu sahaja, panggilan video kini menyokong latar belakang yang dijana oleh AI. Pengguna juga boleh menambah latar belakang yang dijana oleh AI pada imej dan video secara terus dalam perbualan.

Terdapat juga sokongan pelekat baru dan pengguna Android kini boleh mengimbas, menyimpan atau menghantar dokumen secara terus melalui WhatsApp. Akhir sekali, carian untuk kumpulan kini lebih mudah, hanya perlu mencari nama pengguna pada bahagian Chats dan WhatsApp akan memaparkan maklumat mengenai kumpulan yang disertai.

ARTIKEL BERKAITAN