Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baru diumumkan, dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan berbanding versi sebelum yang hanya dilengkapi dengan 49 ciri keselamatan.

Pengenalan pasport versi baru ini memperkukuhkan lagi kedudukan PMA sebagai pasport ketiga paling berkuasa di dunia. Antara penambahbaikan yang dibawakan seperti penggunaan hologram yang dipertingkatkan, cetakan ultraungu (UV), elemen visual tersembunyi serta beberapa ciri forensik khas yang menjadikannya lebih sukar dipalsukan.
Selain itu, benang jahitan yang digunakan untuk mengikat helaian pasport turut mempunyai ciri keselamatan tersendiri, dengan setiap helaian memaparkan elemen berbeza sebagai langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan dokumen berkenaan.
Untuk fasa permulaan, pengeluaran pasport versi baru akan ditawarkan di empat lokasi iaitu Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta, UTC Wangsa Maju dan Pejabat Imigresen Shah Alam. Pengeluaran pasport baru ini akan dilaksanakan secara berperingkat sebelum diperluaskan ke seluruh negara.