Nubia Neo 5 Max 5G secara rasmi tiba ke pasaran tempatan, sekali gus menjadikan ia peranti terbaru yang ditawarkan di bawah jenama Nubia.

Seperti namanya, peranti ini hadir dengan saiz skrin yang besar iaitu bersaiz 7.5-inci, menjadikan ia sebagai fon dengan skrin yang besar berbanding kebanyakan peranti di pasaran ketika ini. Peranti ini menggunakan panel AMOLED dengan resolusi 1.5K dan menyokong paparan 120Hz.

Peranti ini dikuasakan dengan cip Dimensity 7100 yang dipadankan dengan 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Menggunakan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 2MP Kedalaman dan 16MP untuk swafoto.

Dimuatkan dengan bateri 7100mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W dan 10W pengecasan berbalik berwayar. Peranti ini menggunakan sistem penyejukan Dual-Layer Capillary Vapour Chamber bersama dengan 3D Raised VC Pane. Nubia mendakwa sistem tersebut mampu mengekalkan suhu puncak sekitar 38.4°C biarpun selepas sejam bermain Mobile Legends: Bang Bang pada 90fps.

Selain itu, peranti ini turut menyokong Neo Triggers 5.0 yang menawar kadar pensampelan pada 990Hz. Teknologi ini turut disokong oleh NeoTap Esports Touch Algorithm dan Magic Touch 3.0 untuk memastikan kawalan lebih responsif.
Di Malaysia, Nubia Neo 5 Max 5G dijual pada harga RM1399 untuk 8GB + 256GB. Seiring dengan ketibaannya, pengguna yang membuat pembelian awal antara 17 Ogos hingga 16 September 2026 akan menerima harga promosi RM1299 bersama hadiah percuma Nubia Cooler selagi stok masih ada.