Apple secara rasmi memperkenalkan fon lipat pertama mereka iaitu iPhone Duo. Tampil dengan spesifikasi yang berkuasa dan rekaan seperti pasport.

iPhone Duo hadir dengan skrin luar bersaiz 5.4-inci dan skrin dalam bersaiz 7.6-inci. Kedua-dua skrin ini dilindungi dengan Cerami Shield dan menggunakan binaan bingkai dari titanium gred 5 untuk menawarkan ketahanan yang lebih baik. Selain itu, Apple menggunakan engsel dengan sistem variable torque dan plat logam gentian karbon untuk memastikan peranti kekal nipis apabila dibuka.

Menariknya, iPhone Duo tidak menggunakan teknologi Face ID sebaliknya menggunakan Touch ID yang ditempatkan pada butang kuasa. Untuk prestasi, iPhone Duo menggunakan cip A20 Pro dengan modem C2 untuk rangkaian. iPhone Duo dilengkapi dengan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 48MP. Untuk swafoto, ia menggunakan sensor 12MP yang diletakkan pada skrin luar dan skrin dalam.

Tiada maklumat mengenai kapasiti bateri yang dikongsi namun, Apple menyatakan iPhone Duo mampu bertahan sehingga 31 jam untuk main balik video pada skrin utama dan 44 jam pada skrin luar. iPhone Duo tidak menyokong SIM fizikal sebaliknya hanya menyokong eSIM sahaja.

iPhone Duo ditawarkan pada harga bermula RM9499 untuk 256GB dan mencapai sehingga RM15,499 untuk 2TB. Tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Star White dan Night Sky. Di Malaysia, peranti ini boleh di pra-tempah bermula 16 Oktober 2026 dan jualan pertama akan bermula 23 Oktober 2026.