Apple akhirnya memperkenalkan barisan baru peranti andalan mereka melalui iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max. Berbeza untuk kali ini, Apple tidak memperkenalkan model biasa sebaliknya hanya mengumumkan model Pro sahaja.

Siri iPhone 18 Pro hadir dengan rekaan yang sama seperti siri iPhone 17 Pro namun, dengan spesifikasi yang lebih dan juga sokongan kamera yang lebih baik. Untuk iPhone 18 Pro ia menggunakan skrin bersaiz 6.3-inci manakala iPhone 18 Pro Max menggunakan skrin bersaiz 6.9-inci.

Kedua-dua model ini dikuasakan dengan cip A20 Pro yang dihasilkan dengan teknologi binaan 2nm. Cip ini direka untuk menawarkan peningkatan prestasi yang lebih berkuasa dan kecekapan yang lebih baik. Cip ini menggunakan konfigurasi 6 teras dengan 2x teras prestasi dan 4x teras kecekapan.

Buat pertama kalinya Apple menggunakan sistem kamera dengan sokongan apertur boleh ubah. Merupakan sistem kamera paling canggih pernah digunakan pada iPhone. Sokongan apertur boleh ubah memberikan lebih banyak kawalan ketika mengambil gambar.
Siri iPhone 18 Pro masih menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 48MP + 48MP Ultra Lebar + 48MP Telefoto dengan 8x zum optik. Untuk swafoto, ia menggunakan sensor 18MP. Kemampuan video turut dipertingkatan dengan sokongan dan juga fungsi baru.

Siri iPhone 18 Pro turut hadir dengan sistem pengurusan haba baru, menggunakan vapor chamber tiga kali lebih besar berbanding model sebelumnya. Kedua-dua model dilengkapi cip N1 yang menyokong Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6. Modem terbaru Apple iaitu C2 turut dimuatkan yang menawarkan muat naik lebih pantas dan menggunakan kuasa 15% lebih rendah.
Dari segi bateri, Apple menyatakan model eSIM mampu menawarkan penggunaan sehingga 36 jam main balik video pada iPhone 18 Pro dan meningkat kepada 45 jam pada iPhone 18 Pro Max. Untuk pengecasan, peranti ini mampu mengecas 50% hanya dalam masa sekitar 15 minit secara berwayar dan 30 minit tanpa wayar.

Siri iPhone 18 ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Burgundy, Glacier, Silver dan Black. Untuk harga jualan, iPhone 18 Pro dijual pada harga bermula RM5499 sementara untuk iPhone 18 Pro Max pula dijual pada harga bermula RM5999. iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max boleh dipra-tempah bermula 12 September dengan jualan pertama akan bermula 18 September.