Apple telahpun memperkenalkan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max, tampil dengan beberapa perubahan dan juga peningkatan. Berikutan itu, kami ingin berkongsi empat perkara menarik dan kurang menarik untuk siri iPhone 18 Pro.
Perkara menarik
Cip lebih berkuasa

Apple secara rasmi memperkenalkan cip A20 Pro, dihasilkan dengan teknologi binaan 2nm yang direka untuk menawarkan peningkatan prestasi dan kecekapan yang lebih baik. Cip ini menggunakan konfigurasi 6 teras dengan 2x teras prestasi dan 4x teras kecekapan.

Menurut Apple, cip ini mampu menawarkan peningkatan prestasi sehingga 20% dan merupakan cip terpantas yang ada di pasaran ketika ini. Dari segi grafik, cip ini menggunakan GPU 7 teras yang menawarkan peningkatan grafik sehingga 40%. GPU ini turut menyokong neural accelerator baru yang membolehkan model AI boleh dijalankan secara terus pada peranti.
Selain itu, cip ini turut dilengkapi dengan 32 teras Neural Engine yang menawarkan kuasa 2 kali ganda lebih berkuasa berbanding generasi sebelumnya.
Apertur kamera boleh ubah

Salah satu peningkatan menarik pada iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max ialah kamera utama 48MP yang kini dilengkapi dengan apertur boleh ubah.
Berbeza dengan apertur elektronik yang kebiasaannya hanya mengawal jumlah cahaya masuk ke dalam sensor, apertur mekanikal pula membolehkan ia mengubah saiz bukaan lensa. Perubahan ini bukan sekadar memberi kesan kepada pencahayaan, tetapi mempengaruhi hasil gambar seperti bokeh, cahaya terang dan kedalaman fokus.
Dalam erti kata lain, pengguna kini mempunyai lebih banyak kawalan terhadap look atau gambar yang dihasilkan. Apertur mekanikal pada iPhone 18 Pro menggunakan diafragma enam bilah yang digunakan untuk mengubah bukaan lensa. Ketibaan teknologi ini memberikan pengguna lebih banyak kawalan fizikal sekaligus memberi ruang yang lebih besar dalam menghasilkan gambar atau video yang lebih kreatif.
Pengecasan lebih pantas

Siri iPhone 18 Pro kini menyokong pengecasan berwayar yang lebih pantas berbanding generasi sebelumnya. Untuk mendapatkan kelajuan maksimum, Apple menyarankan pengguna menggunakan pengecas 40W Dynamic Power Adapter dengan kuasa maksimum sehingga 60W.
Dengan pengecasan pantas ini, ia membolehkan siri iPhone 18 Pro dicas dari 0% hingga 50% dalam masa sekitar 15 minit. Sebagai perbandingan, iPhone 17 Pro mengambil masa yang lebih panjang iaitu 20 minit untuk mengecas dari 0% hingga 50%.
Kurang menarik
Rekaan sama

Jika anda mengharapkan perubahan rekaan untuk siri iPhone 18 Pro perkara tersebut tidak berlaku. Apple tidak membawakan sebarang perubahan rekaan pada siri iPhone 18 Pro, kekal menggunakan rekaan yang sama seperti siri iPhone 17 Pro.
Siri iPhone 18 Pro tampil dengan rekaan modul kamera berbentuk segi empat dengan bucu bulat. Selain itu, Apple masih menggunakan dua jenis kemasan pada bahagian panel belakang iaitu kaca dan juga bingkai aluminium. Tanpa sebarang perubahan, kita mungkin boleh menyatakan yang Apple cenderung untuk mengekalkan sesuatu rekaan dalam jangka masa panjang.
Apertur boleh ubah terhad pada kamera utama

Antara perkara yang mungkin kurang menarik pada sistem kamera siri iPhone 18 Pro ialah apertur boleh ubah hanya diberikan pada kamera utama 48MP. Walaupun ciri ini merupakan antara peningkatan kamera paling besar untuk generasi ini, kamera ultra lebar dan telefoto masih tidak menyokong apertur boleh ubah.

Ini bermakna pengguna hanya boleh mengawal saiz apertur pada kamera utama, apabila bertukar kepada kamera ultra lebar atau telefoto, kawalan apertur tidak tersedia. Jadi, pengalaman fotografi yang lebih baik hanya ditawarkan pada kamera utama sahaja berbanding kamera lain. Selain itu, kemampuan kamera tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan model sebelumnya.
Harga jualan lebih mahal

Apple juga tidak terlepas dalam menaikan harga jualan peranti baru iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max. Harga jualan untuk siri iPhone 18 Pro bermula dari RM5499 dan mampu mencapai sehingga RM11,999.
Walaubagaimanapun, kenaikan harga jual ini terkesan pada storan 1TB dan 2TB. Manakala, untuk storan 256GB dan 512GB harga jualan masih kekal seperti sebelumnya. Untuk iPhone 18 Pro dengan storan 1TB, ia dijual pada harga RM8499 berbanding sebelum ini RM7499.
Untuk iPhone 18 Pro Max 1TB ia dijual pada harga RM8999 berbanding sebelum ini iaitu RM7999. Kenaikan harga yang dikenakan adalah sekitar RM1000 untuk storan yang sama.