Close

Apple mungkin buka Apple Store kedua di Malaysia

Apple berkemungkinan akan membuka Apple Store kedua di Malaysia, dengan Putrajaya dikatakan sebagai lokasi yang berpotensi.

Perkara tersebut merujuk kepada iklan mencari perkerja yang dibuat oleh Apple untuk pelbagai jawatan melibatkan operasi dan juga teknikal yang berpusat di Putrajaya. Ini sekaligus menimbulkan spekulasi Apple mungkin merancang untuk membuka Apple Store di Putrajaya.

Melalui iklan tersebut, terdapat 22 kekosongan jawatan merangkumi pelbagai posisi seperti Specialist, Operations Specialist, Technical Specialist, Technical Expert, Genius, Pro, Creative dan Genius Admin. Walau bagaimanapun, Apple tidak menyatakan jawatan tersebut adalah untuk Apple Store baru di Putrajaya atau sebaliknya.

Sebelum ini, pengambilan pekerja untuk Apple Store pertama dibuat pada Disember 2022 dan Apple Store The Exchange TRX dibuka pada 22 Jun 2024, iaitu sekitar setahun setengah selepas pencarian pekerja dibuat.

Sekiranya maklumat ini tepat, pembukaan Apple Store kedua mungkin mengambil masa sekitar setahun setengah atau dua tahun, merujuk kepada tempoh pengambilan pekerja dan pembukaan Apple Store pertama.

ARTIKEL BERKAITAN