Xbox mengumumkan satu ciri baru iaitu ‘Disc to Digital” yang membolehkan pengguna menukar kelayakan permainan daripada cakera fizikal kepada lesen digital.
Melalui ciri ini, pengguna boleh menukar permainan cakera fizikal kepada digital, bagi judul permainan yang layak. Permainan yang sudah ditukar kepada digital turut menyokong beberapa fungsi permainan digital seperti Xbox Play Anywhere dan Xbox Cloud Gaming.

Apa yang lebih menarik, permainan cakera fizikal masih boleh digunakan seperti biasa. Untuk menukar kelayakan permainan dari fizikal ke digital, pengguna hanya perlu memasukkan permainan yang disokong ke dalam konsol Xbox One atau Xbos Series X dan lancarkan permainan berkenaan.
Walau bagaimanapun, tidak semua permainan akan menyokong ciri ini semasa ia dilancarkan. Selain itu, lebih banyak judul permainan akan ditambah dari semasa ke semasa. Ciri ini akan mula diuji oleh Xbox Insiders pada 31 Ogos 2026, sebelum diperluaskan kepada lebih ramai pengguna Xbox One dan Xbox Series X dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut Xbox, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk memastikan permainan yang telah dibeli oleh pemain dapat terus diakses walaupun teknologi, peranti dan cara permainan dijual atau ditawarkan terus berubah.Ciri ini memberikan lebih fleksibiliti kepada pemain yang memiliki koleksi permainan dalam bentuk cakera fizikal.