Close

BYD tak jadi buka kilang di Tanjung Malim

Syarikat EV dari China iaitu BYD mengesahkan yang mereka tidak akan meneruskan projek kilang pemasangan secara tempatan (CKD) di Tanjung Malim, Perak.

Walau bagaimanapun, rancangan untuk melaksanakan operasi pemasangan tempatan di Malaysia kekal diteruskan. Menurut Pengarah Urusan iaitu Jacob Ma, keputusan ini dibuat untuk menilai semula strategi syarikat bagi mendapatkan penyelesaian paling sesuai untuk ekosistem automotif tempatan.

Keputusan tidak meneruskan projek di Tanjung Malim tidak mengubah matlamat jangka panjang BYD di Malaysia. Selain itu, perbincangan dengan pembekal tempatan telahpun mencapai fasa lanjutan, memberikan gambaran BYD dalam usaha untuk bergerak seiring dengan ekosistem automotif tempatan.

Bercakap mengenai bekalan, BYD tidak merancang untuk mengimport kenderaan dari fasiliti pengeluarannya di Indonesia bagi menambah bekalan ke Malaysia dalam jangka pendek. Buat masa ini, stok semasa masih mencukupi untuk memenuhi keperluan kecuali terdapat permintaan terhadap model tertentu yang tidak dapat dipenuhi menerusi bekalan sedia ada.

Perancangan kapasiti pengeluaran BYD di rantau ini perlu dilihat dalam konteks jangka panjang antara 10 hingga 20 tahun. Buat masa ini, tiada maklumat lanjut mengenai garisa masa pengeluaran CKD di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN