WhatsApp kini sedang menguji ciri baru yang dipanggil sebagai Restricted Chat, direka untuk memberi lebih banyak kawalan serta perlindungan untuk perbualan tertentu.
Ciri ini telahpun tersedia pada pengguna terpilih WhatsApp beta di Android dan juga iOS. Ciri tidak diaktifkan secara automatik, sebaliknya perlu diaktifkan secara manual.

Apabila ciri ini diaktifkan, gambar atau media yang dihantar dalam perbualan tidak akan disimpan secara automatik ke dalam peranti. Pengguna juga tidak boleh mengeksport keseluruhan perbualan, manakala ciri Meta AI tidak boleh digunakan.
Selain itu, perbualan tidak boleh diakses melalui peranti yang dipautkan sebaliknya hanya boleh diakses melalui peranti utama sahaja. Menurut WhatsApp, sekatan untuk peranti yang dipautkan adalah untuk menghalang pengguna dari menggunakan ejen AI untuk mengakses kandungan dalam perbualan.
Walaupun ciri ini diaktifkan, setiap mesej dan panggilan dalam perbualan masih dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption). Ciri ini dijangka akan tiba kepada semua pengguna secara berperingkat dalam masa terdekat.