Pada minggu lalu, Xiaomi telahpun memperlihatkan prototaip EV terbaru mereka iaitu SU7 Ultra. Merupakan sebuah EV berprestasi tinggi dan dikatakan lebih berkuasa berbanding McLaren Speedtail dan Bugatti Chiron.
Dalam perkembangan terbaru, Xiaomi menyatakan yang SU7 Ultra akan mula diperkenalkan pada separuh kedua 2025. Namun begitu, versi akhir SU7 Ultra tidak menggunakan gentian karbon sepenuhnya untuk menjadikan harga jualan lebih berpatutan.
SU7 Ultra dibina menggunakan platform SU7 yang dipadankan dengan tri-motor elektrik dengan 2 motor HyperEngine V8 dan 1 motor HyperEngine V6. Mampu menghasilkan kuasa sebanyak 1548 hp dan memecut dari 0-100 km/j hanya dalam 1.97 saat. Kelajuan maksimum SU7 Ultra ini adalah 350 km/j.
EV prototaip ini menggunakan teknologi bateri Qilin CATL 2.0 yang menyokong pengecas pada 897V dengan kadar pengecasan 5.2C. Bermaksud, EV ini boleh dicas semula hanya dalam masa kurang dari 12 minit. Selain itu, Xiaomi mendakwa SU7 Ultra mampu menghasilkan kuasa 800kW dengan bateri 20%.
Xiaomi menyasarkan untuk mencipta rekod baru dalam kelas sedan elektrik 4 pintu di Nürburgring. Pada ketika ini, rekod terpantas dalam segmen tersebut dipegang oleh Porsche Taycan Turbo GT dengan catatan masa 7:07.55 minit.