Apple secara rasmi memperkenalkan peranti baru iaitu iPhone 16e, merupakan pengganti kepada model iPhone SE sebelum ini.

iPhone 16e tampil dengan rekaan serba baru yang menggunakan rekaan seperti iPhone 14. Dilengkapi dengan skrin OLED Super Retina bersaiz 6.1-inci dengan paparan 60Hz yang dilindungi dengan Ceramic Shield. Dikuasakan dengan cip A18 sekaligus menyokong fungsi Apple Intelligence. Merupakan iPhone pertama hadir dengan modem selular yang dibangunkan sendiri oleh Apple iaitu C1.

Menggunakan tetapan kamera tunggal belakang dengan sensor 48MP Fusion dan swafoto 12MP. Apple mendakwa,sistem kamera peranti ini adalah 2-in-1 sekaligus ia menyokong keupayaan 2x optik zum telefoto. iPhone 16e turut hadir dengan butang tambahan Action Button dan tidak mempunyai butang Camera Control.

Tiada lagi fungsi Touch ID sebaliknya diganti dengan Face ID dan menggunakan pengecasan jenis USB-C. iPhone 16e turut hadir dengan sokongan satelit komunikasi untuk kecemasan. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti penarafan IP68, pembesar suara jenis stereo, Bluetooth 5.3 dan menjalankan iOS 18.

Di Malaysia, iPhone 16e dijual pada harga bermula RM2999 untuk 128GB, RM3499 untuk 256GB dan RM4999 untuk 512GB. Bagi yang berminat, iPhone 16e boleh dipra-tempah bermula 21 Februari dengan jualan akan bermula pada 28 Februari ini.