Close

3 perkara menarik dan kurang menarik mengenai iPhone 16e

iPhone 16e telahpun tiba secara rasmi ke pasaran tempatan. Buat yang tidak mengetahui, iPhone 16e adalah pengganti kepada iPhone SE generasi ke-3 yang diperkenalkan sebelum ini.

3 perkara menarik

Cip Apple A18

iPhone 16e dikuasakan dengan cip A18 yang turut digunakan pada iPhone 16. Cip ini menggunakan teknologi binaan 3nm dengan konfigurasi 6 teras iaitu 2x teras utama + 4x teras kecekapan. Tidak ketinggalan, ia hadir dengan 4x teras GPU dan 16x teras NPU.

Menurut Apple, cip ini menawarkan peningkatan prestasi CPU dan GPU sehingga 40% berbanding iPhone SE 3 dengan cip A15 Bionic.

Modem Apple C1

iPhone 16e merupakan iPhone pertama yang hadir dengan modem buatan sendiri iaitu Apple C1. Modem pertama dari Apple ini dikatakan modem paling cekap kuasa yang pernah ada pada iPhone.

Dengan kecekapan kuasa yang baik, ia menjanjikan jangka hayat bateri yang lebih panjang. Selain itu, modem ini turut menjanjikan sokongan rangkaian 5G yang lebih stabil dan lebih pantas.

Pengecasan USB-C

Tidak seperti model sebelumnya yang menggunakan pengecasan jenis Lightning. Untuk kali ini, Apple menggunakan pengecasan jenis USB-C. Apple menyatakan, peranti ini mampu mengecas 0% ke 50% hanya dalam 30 minit dengan pengecasan 20W.

Seperti biasa, Apple tidak mendedahkan sokongan pengecasan pantas dan kapasiti bateri yang digunakan iPhone 16e. Kita mungkin boleh menjangkakan ia mungkin sama seperti iPhone 16.

3 kurang menarik

Kamera

iPhone 16e hanya dilengkapi dengan satu kamera belakang dengan sensor 48MP. Tiada sokongan kamera ultra lebar mahupun kamera telefoto. Dengan menggunakan satu kamera belakang ia menjadikan iPhone 16e dilihat kurang relevan berbanding peranti lain yang ada di pasaran.

Dengan tanda harga mencecah RM4500, Apple sekurang-kurangnya menggunakan tetapan dua kamera belakang dengan konfigurasi kamera utama dan juga kamera ultra lebar. Tetapan dua kamera belakang mampu menjadikan iPhone 16e lebih versatile atau serba boleh seperti peranti lain.

Notch

Walaupun iPhone 16e menggunakan rekaan serba baru berbanding model sebelumnya namun ia hadir dengan skrin jenis Notch bukan Dynamic Island. Model terakhir yang menggunakan rekaan Notch adalah iPhone 14 yang diperkenalkan pada tahun 2022.

Skrin dengan Dynamic Island mungkin menjadikan peranti ini lebih menarik berbanding Notch yang dilihat sedikit ketinggalan. Namun begitu, ia mungkin bukan masalah besar kerana ia menyokong fungsi Face ID.

MagSafe

Sekiranya anda pengguna atau peminat kepada aksesori MagSafe, iPhone 16e mungkin boleh dikeluarkan dari senarai peranti anda yang seterusnya kerana peranti ini tidak menyokong fungsi tersebut.

Sebagai rekod, Apple mula memperkenalkan MagSafe pada tahun 2020 melalui iPhone 12. MagSafe mungkin boleh dikatakan sebagai fungsi wajib pada iPhone sejak 2020. Melaluinya, ia membolehkan pengguna menggunakan pelbagai aksesori dengan lebih mudah. Ketiadaan MagSafe mungkin jadi penghalang utama bagi sesetengah pengguna.

ARTIKEL BERKAITAN