Pada acara sama, Samsung turut memperkenalkan jam tangan pintar baru mereka iaitu siri Galaxy Watch8, ditawarkan dengan 2 pilihan model iaitu Galaxy Watch8 dan Watch8 Classic.

Siri Galaxy Watch8 hadir dengan rekaan baru yang direka semula sepenuhnya bagi memberikan keselesaan yang lebih baik. Galaxy Watch8 hadir dengan dua pilihan saiz iaitu 40mm dan 44mm. Dikuasakan dengan cip Exynos W1000 yang dipadankan dengan 2GB RAM dan storan dalaman 32GB. Menggunakan skrin Super AMOLED bersaiz 1.34-inci untuk 40mm dan 1.47-inci untuk 44mm yang dilindungi dengan sapphire glass tahan lasak.

Dimuatkan dengan bateri 325mAh (40mm) dan 435mAh (44mm) yang menyokong pengecasan tanpa wayar. Untuk penjejakan kesihatan, ia hadir dengan ciri baru seperti Antioxidant Index, Mindfulness Tracker, High Stress Alert, Vascular Load, Bedtime Guidance dan lain-lain. Dari segi kecergasan, ia menyokong beberapa ciri baru seperti Running Coach, Together, AI-powered Energy Score dan sebagainya.

Manakala untuk Galaxy Watch8 Classic, ia hadir dengan satu pilihan saiz sahaja iaitu 46mm. Turut dikuasakan dengan cip Exynos W1000 yang dipadankan dengan 2GB RAM dan storan dalaman 64GB. Menggunakan skrin Super AMOLED bersaiz 1.34-inci dan dilindungi dengan sapphire glass tahan lasak. Peranti ini turut dilengkapi dengan bezel jenis berputar dan 3 butang kawalan fizikal yang dimuatkan di bahagian kanan.

Dimuatkan dengan bateri 445mAh yang menyokong pengecasan tanpa wayar. Untuk penjejakan kesihatan dan kecergasan ia menyokong ciri yang sama seperti Galaxy Watch8 iaitu Antioxidant Index, Mindfulness Tracker, High Stress Alert, Vascular Load dan lain-lain.
Untuk spesifikasi lain, siri Galaxy Watch8 turut dilengkapi seperti penarafan IP68, ketahanan tentera MIL-STD-810H, 5ATM, dan menjalankan One UI 8 yang berasaskan Android Wear OS 6. Selain itu, siri Galaxy Watch8 turut menyokong fungsi menarik seperti now bar, multi-info tiles dan juga sokongan Gemini.

Di Malaysia, Galaxy Watch8 (40mm) dijual pada harga bermula RM1299 dan RM1599 untuk LTE. Untuk Galaxy Watch8 (44mm) pula, ia dijual pada harga bermula RM1399 dan RM1699 untuk LTE. Manakala untuk Galaxy Watch8 Classic ia dijual pada harga bermula RM1799 dan RM2099 untuk LTE. Bagi yang berminat, peranti ini boleh dipra-tempah bermula hari ini melalui laman web rasmi Samsung Malaysia.