Sistem operasi baru iaitu iOS 27 telahpun diumumkan secara rasmi oleh Apple pada acara WWDC 26. Sistem operasi ini dilihat lebih memfokuskan kepada keupayaan AI yang lebih pintar bersama dengan beberapa peningkatan yang lain.

iOS 27 kini hadir dengan keupayaan Apple Intelligence yang lebih bijak dan lebih peribadi, dibangunkan dengan kerjasama Google Gemini. Pembantu maya Siri menerima peningkatan besar dengan integrasi Apple Intellingence sepenuhnya dan dikatakan sebagai Siri paling pintar dan lebih berpengetahuan yang pernah dibangunkan.

Siri AI baru ini mampu memahami konteks peribadi pengguna dengan lebih baik, mencari maklumat merentasi mesej, e-mel dan foto, serta melaksanakan lebih banyak tindakan dalam aplikasi. Pembantu maya ini turut diintegrasi secara mendalam pada semua ekosistem merangkumi iPhone, iPad, Mac, Apple Watch dan Apple Vision Pro.

Bukan itu sahaja, Siri AI kini memahami kandungan yang dipaparkan pada skrin pengguna seterusnya mendapatkan maklumat terkini melalui web untuk jawapan yang lebih relevan. Apple Intelligence turut hadir dengan beberapa ciri baru seperti Spatial Reframing membolehkan pengguna mengubah komposisi gambar selepas ia diambil. Image Playground pula kini mampu menjana imej berkualiti tinggi dalam gaya yang lebih realistik.


Dari segi prestasi, Apple mendakwa iOS 27 kini 30% lebih pantas dalam membuka aplikasi dan 80% lebih laju untuk pemindahan fail melalui AirDrop. Selain itu, rekaan antara muka kini lebih kemas dan juga responsif serta pengguna kini boleh menyesuaikan kesan Liquid Glass dalam sistem operasi dan ntaramuka lebih kemas dan responsif.


Menurut Apple, versi beta untuk pengguna dijangka akan tiba sekitar Julai dan versi stabil pula berkemungkinan tiba sekitar September atau Oktober ini.