iOS 27 telahpun diumumkan oleh Apple melalui acara WWDC 26, memfokuskan kepada keupayaan AI melalui Apple Intelligence dalam masa yang sama hadir dengan rekaan antara muka yang lebih baik dan ciri yang dipertingkat.
Apple Intelligence

iOS 27 kini hadir dengan keupayaan Apple Intelligence yang dibina untuk memberikan pengalaman pengguna lebih pintar dan lebih peribadi. Apple Intelligence turut diintergrasikan sepenuhnya pada Siri, mampu memahami konteks peribadi pengguna dengan lebih baik, mencari maklumat merentasi mesej, e-mel dan foto, serta melaksanakan lebih banyak tindakan dalam aplikasi.

Bukan itu sahaja, Siri AI kini memahami kandungan yang dipaparkan pada skrin seterusnya mendapatkan maklumat melalui web untuk jawapan yang lebih relevan. Pembantu maya ini turut diintegrasi secara mendalam pada semua ekosistem merangkumi iPhone, iPad, Mac, Apple Watch dan Apple Vision Pro.
Liquid Glass


Apple turut menambahbaik antara muka Liquid Glass dengan beberapa perubahan seperti tampil dengan ikon yang lebih menarik dan sokongan widget yang lebih besar pada skrin utama. Selain itu, pengguna kini boleh melaras tahap ketelusan Liquid Glass menerusi melalui slider yang diletakkan pada tetapan.
Spatial Reframing


Apple Intelligence hadir dengan ciri baru pada aplikasi foto yang dipanggil Spatial Reframing. Yang mana, ciri ini membolehkan pengguna mengubah komposisi gambar selepas diambil. Menurut Apple, AI akan menganalisis imej atau gambar, kemudian menghasilkan semula komposisi yang dimahukan oleh pengguna. Selain itu, terdapat juga ciri lain yang menarik seperti extend dan juga clean up.
Screen time

Apple turut membawa kemas kini baru pada Screen time dengan memperkenal fungsi Time Allowances, membolehkan ibu bapa menetapkan had penggunaan harian bagi kategori aplikasi seperti permainan, media sosial dan juga hiburan. Selain itu, ibu bapa turut boleh menetapkan penggunaan aplikasi mengikut waktu bagi membantu menggalakkan tabiat penggunaan peranti yang lebih sihat.
Image playground

Aplikasi penjana imej AI iaitu Image playground turut menerima peningkatan yang ketara dengan bantuan Apple Intelligence. Melaluinya, pengguna boleh menghasilkan imej yang lebih berkualiti dengan hanya menggunakan arahan yang lebih santai. Pengguna juga boleh mengubah suai imej yang dijana dengan arahan tambahan seperti menukar pakaian, menambah objek atau mengubah elemen tertentu dalam gambar tanpa perlu memulakan semula proses penjanaan.

Selain itu, Image playground kini membolehkan pengguna memilih nisbah dan saiz imej yang sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti laman web, poster, jemputan majlis dan kandungan media sosial.