Seperti yang kita tahu, kerajaan telahpun mengumumkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baru. Melalui, ia hadir dengan pelbagai penambahbaikan dan dilengkapi dengan ciri keselamatan yang lebih baik berbanding versi sebelumnya. Seiring dengan itu kami ingin berkongsi perkara yang anda perlu tahu mengenai PMA versi baru.
Rekaan

Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) bukan sekadar dokumen perjalanan, ia juga merupakan lambang identiti dan kedaulatan negara yang membawa nama Malaysia ke persada dunia. Berikutan itu, PMA versi baru ini menampilkan elemen yang mencerminkan lima prinsip Rukun Negara.
Selain itu, tema warna dalaman kini menggunakan tona baru iaitu hijau/hijau-kebiruan, berbanding versi lama yang menggunakan tona biru. Gambar pasport kini dicetak dalam format berwarna, bukan lagi jenis hitam-putih (laser) seperti sebelum ini. Akhir sekali, perkataan “PASPORT / PASSPORT” dan logo biometrik kini dialihkan ke bahagian sebelah kiri berbanding versi lama yang berada di tengah-tengah.
Ciri keselamatan

Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baru dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan berbanding versi sebelum in yang hanya dilengkapi dengan 49 ciri keselamatan. Antara penambahbaikan yang dibawakan seperti penggunaan hologram yang dipertingkatkan, cetakan ultraungu (UV), elemen visual tersembunyi serta beberapa ciri forensik khas yang menjadikannya lebih sukar dipalsukan.
Benang jahitan yang digunakan untuk mengikat helaian pasport turut mempunyai ciri keselamatan tersendiri, dengan setiap helaian memaparkan elemen berbeza serta terdapat corak yang berlainan pada setiap halaman sebagai langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan dokumen berkenaan.
Tempoh sah laku lebih panjang
Selain PMA versi baru, kerajaan turut mengumumkan tempoh sah laku yang lebih panjang iaitu sehingga 10 tahun, berbanding sebelum ini hanya 5 tahun sahaja. Walau bagaimanapun, permohonan tersebut hanya boleh dilakukan melalui walk in sahaja. Berbeza dengan PMA versi baru dengan tempoh sah laku 5 tahun ia boleh dibuat secara dalam talian melalui MyOnline Pasport.
Kadar bayaran

Menerusi pindaan di bawah Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026, rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 59 tahun boleh memohon tempoh sah laku sehingga 10 tahun dengan bayaran RM350. Manakala untuk golongan berumur 60 tahun dan ke atas bayaran yang dikenakan adalah RM175.
Manakala untuk tempoh sah laku 5 tahun pula adalah RM200 untuk rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 59 tahun dan RM100 untuk golongan berumur 60 tahun dan ke atas. Bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) 18 tahun dan ke atas yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya serta pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia layak mendapat pasport secara percuma.
Kadar bayaran untuk penggantian pasport

Bagi kadar bayaran untuk penggantian pasport yang hilang atau rosak. Untuk pasport dewasa, bayaran penggantian ditetapkan pada RM550 untuk kali pertama, RM850 untuk kali kedua dan RM1350 bagi kehilangan seterusnya.
Untuk pemegang kad OKU, bayaran yang akan dikenakan adalah RM200 untuk penggantian pertama, RM500 untuk kali kedua, dan RM1000 bagi penggantian berikutnya. Seterusnya, bgi warga emas penggantian pertama ialah RM375, kedua RM675 dan seterusnya RM1175.
Setakat ini, sebanyak 22 pejabat imigresen telah dibuka untuk pengeluaran pasport versi baharu dan proses pemasangan sistem sedang dijalankan secara berperingkat. Selain itu, Orang ramai dinasihatkan tidak tergesa-gesa menukar pasport versi baru sekiranya pasport masih sah digunakan.