iPhone Air generasi kedua dijangka akan tiba seawal tahun 2027 selepas terdapat laporan menyatakan yang Apple sedang membangunkan peranti tersebut.
Menurut maklumat, peranti tersebut dijangka akan tiba pada 2027 bersama dengan beberapa penambahbaikan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya. iPhone Air 2 berkemungkinan hadir dengan tetapan dwi-kamera belakang, kamera kedua dikatakan sensor ultra lebar membolehkan pengguna mengambil gambar dengan sudut pandang yang lebih luas.

Dari segi rekaan, iPhone Air 2 dilaporkan masih mengekalkan identiti yang sama iaitu rekaan nipis merupakan tarikan utama pada siri Air. Walaupun begitu, iPhone Air 2 dijangka menawarkan ketahanan bateri yang lebih baik melalui peningkatan kapasiti bateri atau dengan penggunaan cip yang lebih cekap tenaga.
Selain itu, peranti ini dijangka akan dikuasakan dengan cip A20 Pro, berkemungkinan cip yang sama digunakan pada iPhone 18 Pro yang bakal dilancarkan lebih awal. Penggunaan cip ini berpotensi memberikan prestasi yang lebih pantas serta kecekapan tenaga yang lebih baik pada model ini.
Sekiranya laporan ini tepat, iPhone Air 2 bakal menjadi pilihan yang lebih menarik untuk pengguna yang mahukan peranti dengan rekaan nipis tanpa perlu mengorbankan ciri kamera yang lebih versatil.