Sistem operasi terbaru untuk iPhone iaitu iOS 27 kini tersedia untuk dimuat turun bagi semua pengguna global termasuk di Malaysia.

Sistem operasi ini lebih memfokuskan kepada keupayaan AI yang lebih pintar bersama dengan beberapa peningkatan yang lain. iOS 27 kini hadir dengan keupayaan Apple Intelligence yang lebih bijak dan lebih peribadi, dibangunkan dengan kerjasama Google Gemini. Pembantu maya Siri menerima peningkatan besar dengan integrasi Apple Intellingence sepenuhnya dan dikatakan sebagai Siri paling pintar dan lebih berpengetahuan yang pernah dibangunkan.

Siri AI baru ini mampu memahami konteks peribadi pengguna dengan lebih baik, mencari maklumat merentasi mesej, e-mel dan foto, serta melaksanakan lebih banyak tindakan dalam aplikasi. Pembantu maya ini turut diintegrasi secara mendalam pada semua ekosistem merangkumi iPhone, iPad, Mac, Apple Watch dan Apple Vision Pro.
Dari segi prestasi, Apple mendakwa iOS 27 kini 30% lebih pantas dalam membuka aplikasi dan 80% lebih laju untuk pemindahan fail melalui AirDrop. Selain itu, rekaan antara muka kini lebih kemas dan juga responsif serta pengguna kini boleh menyesuaikan kesan Liquid Glass dalam sistem operasi dan antaramuka lebih kemas dan responsif.

Untuk sokongan peranti, terdapat 30 model yang menyokong kemas kini iOS 27 bermula dari iPhone SE ke-2 ke atas, siri iPhone 11, siri iPhone 12, siri iPhone 13, siri iPhone 14, siri iPhone 15, siri iPhone 16, iPhone Air dan juga siri iPhone 17.

Selain itu, kemas kini sistem operasi versi stabil untuk iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27, visionOS 27 dan tvOS 27 turut tersedia untuk semua pengguna.