Selepas Humane AI Pin, kini ada satu lagi peranti pintar dengan keupayaan AI yang dipanggil sebagai Rabbit R1. Peranti tersebut telah diperkenalkan pada acara CES 2024.
Rabbit R1 tampil dengan rekaan yang kompak dan mirip seperti konsol Playdate. Dilengkapi dengan skrin sentuh 2.88-inci, kamera yang boleh berputar untuk rakaman foto atau video dan terdapat satu butang untuk navigasi. Terdapat juga mikrofon dan juga pembesar suara secara terbina.
Dikuasakan dengan cip MediaTek Helio P53 yang dipadankan dengan 4GB RAM dan storan dalaman 128GB. Bateri peranti ini didakwa mampu bertahan sepanjang hari. Menjalankan sistem operasi Rabbit OS yang dibina dengan model bahasa Large Action Mode (LAM). Turut menyokong WiFi, Bluetooth dan kad sim.
Menarik mengenai Rabbit R1 adalah ia tidak mempunyai aplikasi khas sebaliknya dikawal melalui arahan. Pelbagai tugasan boleh dilakukan melalui arahan seperti tempah tiket wayang, tiket penerbangan dan memainkan kandungan video atau muzik. Membezakan Rabbit OS dengan Siri atau Google Asisstan adalah ia mengeluarkan keputusan secara terus melalui arahan yang diberikan. Peranti ini turut boleh digunakan untuk membuat panggilan suara atau video, menghantar mesej dan memasang aplikasi.
Rabbit R1 dibangunkan oleh Teenage Engineering dengan tujuan untuk menggantikan penggunaan telefon pintar. Ditawarkan pada harga sekitar $199 (RM923) tanpa langganan dan telahpun terjual lebih dari 100,000 unit ketika artikel ditulis.