Sempena tiga dekad berada di pasaran Amerika, Eropah dan , Sony akan menyambut ulang tahun ke-30 konsol PlayStation. Seiring dengan itu, Sony memperkenalkan kasut dan buku edisi terhad untuk peminat mereka.

Sony berkerjasama dengan Reebok untuk menghasilkan kasut edisi terhad yang bertemakan kepada konsol PlayStation asal. Melalui kerjasama PlayStation x Reebok, Sony menawarkan tiga model kasut dengan setiap satu mewakili kepada pasaran seperti InstaPump Fury 94 untuk Jepun, Pump Omni Zone II untuk Amerika Syarikat dan Workout Plus untuk United Kingdom.

Rekaan kasut edisi terhad ini diinspirasikan daripada PlayStation pertama. Setiap butiran yang dipilih atau digunakan berdasarkan kepada tahun pelancaran dan populariti pada era tersebut. Menjadikan ia lebih menarik, kasut ini didatangkan dengan kotak edisi terhad menggunakan rekaan sama seperti kotak jualan asal konsol dengan perincian nostalgik yang ikonik. Ketiga-ketiga kasut ini akan mula dijual bermula Oktober dan ditawarkan pada jumlah yang terhad.

Untuk buku edisi terhad pula, ia hadir dengan 400 halaman dengan tajuk PlayStation: The First 30 Years. Buku ini mengandungi sejarah konsol PlayStation yang tidak pernah didedahkan sebelum ini seperti lakaran konsep, protaip konsol dan pembangunan perkakasan di Sony Interactive Entertainment.

Buku ini membolehkan peminat merasai perjalanan Sony dan evolusi PlayStation dari satu generasi ke generasi seterusnya. Buku ini ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard Edition dan Deluxe Edition.
Buku PlayStation: The First 30 Years Standard Edition dijual pada harga sekitar £95 (RM537) manakala untuk Deluxe Edition ia dijual pada harga sekitar £425 (RM2407). Sementara untuk kasut ia dijual pada harga sekitar ¥37,000 (RM1048) untuk Reebok Instapump Fury, $220 (RM925) untuk Reebok Pump Omni Zone II dan £150 (RM849) untuk Reebok Workout Plus.