Jualan konsol terbaru dari Nintendo iaitu Switch 2 kini menghampiri 6 juta unit, biarpun konsol tersebut baru sebulan berada di pasaran.
Menurut Nintendo, mereka telah berjaya menjual 5.82 juta unit Switch 2 sehingga penghujung Jun ini. Jumlah jualan tersebut adalah dua kali ganda berbanding Switch asal yang terjual 2.7 juta unit pada bulan pertama. Lebih menarik, Switch 2 hanya memerlukan 4 hari untuk memintas jualan Switch asal dengan 3.5 juta unit.

Nintendo turut menyatakan, permintaan Switch 2 kini melebihi bekalan di kebanyakkan pasaran. Berikutan dari itu, Nintendo akan meningkatkan lagi pengeluaran secara global bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Switch 2 merupakan penyambung kepada kejayaan konsol pertama iaitu Switch yang diperkenalkan pada tahun 2017. Switch 2 hadir dengan pelbagai peningkatan yang menarik seperti skrin yang lebih besar, sokongan kawalan baru melalui Joy-Con 2 dan prestasi yang lebih berkuasa.

Di Malaysia, Switch 2 dijual pada harga RM2488 untuk konsol sahaja dan RM2688 untuk konsol dan permainan Mario Kart World Bundle. Selain itu, Switch 2 turut hadir dengan penawaran aksesori dan juga permainan. Untuk aksesori ia dijual pada harga bermula RM165 manakala untuk permainan ia dijual pada harga bermula RM108.